Thursday, September 25, 2008

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin



Assalamualaikum, saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan "SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN'

Saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan jika ada salah dan silap serta ketelanjuran dikala berbicara. Mudah-mudahan Syawal ini akan memberi lembaran baru dalam hidup kita.

Pesanan saya: Berhati-hatilah ketika memandu dan saya doakan saudara-saudari selamat sampai kedestinasi yang dituju.

Sentiasalah beringat, setiap tindak-tanduk kita perlu memikirkan orang tersayang.

Beralah bukan ertinya kalah secara total

Keputusan telah dibuat, beserah kehadrat Ilahi takdir yang mendatang. Ada ketikanya kita 'terpaksa' beralah untuk mengelakkan ketegangan yang pasti jika menerusi kekerasan kita akan kalah teruk. Biarlah tindakan kita umpama 'menarik rambut dari dalam tepung, rambut tak putus, tepung tidak beselerak'.Inilah yang dikatakan Plan C apabila Plan A & Plan B telah digunakan.

Bagi saya, Plan C akan menghasilkan keputusan/kejayaan yang lebih 'Cemerlang'. Insya-Allah. Mungkin ada setengah pihak akan merasakan dirinya telah menang besar terutama sekali hamba yang bernama 'Y' yang sanggup menggunakan apa cara sekalipun walaupun terpaksa menjadi seorang yang 'hipokrit' ataupun 'sumpah-sumpah', mungkin yang benama 'G' lebih-lebih lagi yang bernama 'Dato A'. Tapi sang 'Y' juga kena ingat, mungkin didunia beliau boleh bermuka-muka, diakhirat kelak Allah sahaja yang tahu. Wallahualam. Walaubagaimanapun, Plan A & B telah menghasilkan kejayaan walaupun tak seberapa.

Alhamdulillah, walau apapun dugaan yang ditempuhi berkat kesabaran insya-Allah kejayaan mendatang. Kita harus sedar, setiap kejayaan itu bermula dengan pengorbanan. Marilah kita sama-sama memohon doa kehadrat Ilahi agar diri kita selalu dilindungi dan diberkati-Nya.

Tuesday, September 23, 2008

Kenapa dan mengapa?

1. Sales nature is not same as other service such as selling an insurance, credit card and etc. Which is in Tee Mmm escpecially in Cee Mmm Gee is more retention rather than getting new sale or new customer. Customer base is stagnant which is no more new customer and depending on existing customer definitely.
2. The way Tee Mmm set the sales target is not specific, not clear (blur), questionable and keep changing time to time which is can occur anxiety in the future.
3. There no system can help the sales people to track the account revenue and payment automatically and the data intergrity sometime questionable.

TM: 'Terima Kasih'

TM,
Terima kasih kerana mengambil aku,
Terima kasih kerana 'mendodoi' aku,
Terima kasih kerana menggilap aku,
Terima kasih kerana membantu aku,
Terima kasih kerana mengajar aku,
Terima kasih kerana aku tahu apa itu 'perikemanusiaan'
Terima kasih kerana atas segala-galanya,

Keranamu TM, aku sedar Saat Indah (hanya) Sementara...

Thursday, September 18, 2008

Perkauman

Oleh Che Det




1. Apabila prestasi Barisan Nasional jatuh dengan teruk pada Pilihanraya Umum lepas ramai pemerhati di dalam dan luar negara mendakwa bahawa semua rakyat Malaysia pelbagai kaum telah menolak politik berlandaskan kaum.
2. Peningkatan mendadak jumlah Ahli Parlimen pembangkang dikatakan kerana pembangkang merupakan alternatif kepada politik perkauman yang diamalkan BN. Bahawa PAS adalah parti Melayu manakala DAP pula dianggotai hampir keseluruhannya oleh orang Cina tidak diambil kira. Saya tak faham. Parti-parti ini juga merupakan parti berlandaskan kaum.
3. Jika benar rakyat menolak parti berlandaskan kaum sebagaimana yang diwakili parti-parti komponen BN, mereka juga sepatutnya tolak PAS dan DAP. Dan kita juga patut melihat peningkatan hubungan antara kaum.
4. Tetapi adakah terdapat peningkatan hubungan antara kaum ini?
5. Mungkin saya salah dan semestinya pucuk pimpinan Kerajaan akan kata saya salah, tetapi apa yang saya lihat hari ni ialah kewujudan sifat perkauman yang lebih ekstrim.
6. Yang terbaru melibatkan Dato Ahmad Ismail.
7. Kemarahan dan kekecohan yang ditimbulkan beliau, seorang yang kerdil di dalam UMNO, tidak setanding dengan isu yang dibangkitkan. Tetapi oleh kerana pemimpin UMNO tidak bijak mengurus isu tersebut dengan baik, maka ianya menjadi satu isu yang boleh pecah-belahkan BN.
8. Kini MCA dan Gerakan mengugut untuk keluar BN.
9. Kita boleh faham tindakan parti Cina untuk kembalikan sokongan kaum Cina dengan menunjukkan bantahan yang kuat terhadap UMNO. Tetapi ini hanya akan timbulkan perasaan marah orang Melayu terhadap orang Cina. Jika ini terus berlaku, jika Gerakan dan MCA tinggalkan BN kerana apa yang diperkatakan Ahmad Ismail, siapa yang untung? Sudah tentu Pakatan pembangkang. Pilihan yang ada pada Gerakan dan MCA hanyalah untuk menyertai pembangkang atau terus merosot menjadi parti yang tidak signifikan yang tidak mungkin boleh menang cukup kerusi untuk bentuk Kerajaan. Akhirnya pembangkang menang.
10. Percayakah kita parti pembangkang seperti PAS, yang bulat-bulat parti Melayu dengan matlamat menubuhkan negara Islam dan DAP yang mengamal politik sekular dan dianggotai hampir keseluruhannya oleh orang Cina boleh mendirikan Kerajaan yang baik? Pakatan Rakyat bukanlah satu perikatan seperti BN. Ianya hanya himpunan parti-parti berasingan yang bergabung untuk menang pilihanraya dengan tidak bertanding melawan sesama mereka.
11. Saya tahu PAS dan DAP tidak suka dengan kehadiran Keadilan yang baru wujud ketuanya Anwar Ibrahim. Mereka tidak mahu tunduk kepada Keadilan atau lantik Anwar sebagai Perdana Menteri. Mereka tidak mahu Keadilan memain peranan seperti UMNO di dalam Barisan Nasional.
12. Hasilnya adalah kekacauan dalam negara. Akan tercetus ketegangan kaum yang akan menjadi lebih buruk.
13. Apa yang saya dapat lihat juga ialah keengganan parti-parti Cina di dalam BN untuk menamakan punca masalah yang sebenar. Secara tertutup, orang Cina seperti juga Melayu, akan mencerca pimpinan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi. Tetapi tiada siapa yang akan katakannya secara terbuka. Sebaliknya kita lihat UMNO dijadikan mangsa.
14. Menjadikan UMNO mangsa tidak akan memperbaiki hubungan antara kaum atau meningkatkan mutu Kerajaan BN. Hanya jika Dato Seri Abdullah disingkir, dan hanya jika dianya sudah undur, tiada apa-apa yang boleh dilakukan parti-parti Cina mahupun UMNO untuk memperbaiki hubungan kaum dan pulihkan BN atau meningkatkan keupayaan Kerajaan negara ini.
15. Saya sudah kata yang Dato Seri Najib tidak perlu minta maaf, tetapi UMNO harus ambil tindakan disiplin terhadap Ahmad. Penolakan maaf Najib oleh Gerakan hanya menimbulkan kemarahan orang Melayu. Pada masa yang sama saya tidak rasa sokongan untuk Gerakan dan MCA meningkat.
16. Pimpinan BN sepatutnya memanggil semua pihak yang terlibat dan mempengaruhi mereka agar tidak gunakan isu perkauman. Tetapi pucuk kepimpinan ini takut untuk bersemuka dengan Ahmad Ismail. Sebaliknya dia mengguna Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menunjukkan yang dia tidak berpihak kepada sesiapa. Sekarang bukan hanya Melayu, tetapi Cina juga semakin marah.
17. Di dalam tulisan saya yang lepas, saya cuba kurangkan perasaan anti-BN. Bagi saya ianya masih merupakan gabungan yang baik, masih lagi institusi yang terbaik di dalam politik Malaysia yang berbilang kaum.
18. Masalahnya ialah kepimpinan yang tidak cekap. Kita tidak karamkan kapal hanya kerana nakhoda tidak cekap. Kita singkirkan nakhoda.
19. Saya tahu akhbar Cina mengatakan yang saya bersifat perkauman. Saya boleh nafikannya tetapi mereka tidak akan terima penafian saya. Tetapi hubungan yang baik antara kaum di Malaysia adalah satu kemestian. Perbalahan antara UMNO, MCA dan Gerakan hanya akan hasilkan ketegangan kaum dan perpecahan dalam BN. Tiada pihak dalam BN yang akan untung.
20. Pimpinan UMNO, MCA dan Gerakan mesti berusaha untuk memperbaiki keadaan ini dan memulihkan semula BN.
21. Tetapi saya akui ianya adalah sukar jika Abdullah masih lagi memimpin BN dan Kerajaan. Sudah tiba masanya UMNO, MCA dan Gerakan bersatu dan paksa Abdullah lepaskan jawatan. Hanya dengan cara ini kita dapat pulihkan BN dan mungkin juga menyusunnya semula. Jika tidak hubungan kaum akan terus merosot dan negara akan jadi mangsa.

Mufti Perlis: ISA tidak diperlukan untuk bela ajaran Islam

Oleh: ZIEMAN


Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin hari ini menegur tindakan kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam isu agama dan mengheret pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin dan Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok yang masih ditahan di bawah peruntukan akta itu.

Ketika ditemui di Damansara Kim sebentar tadi, Dr Asri berkata, Islam dibina dari hujah dan dasar yang jelas, dan Islam juga tidak memerlukan ISA untuk membela ajarannya.
“Jadi tidak ada alasan untuk menahan orang dengan tidak memberi peluang membela diri. Ini adalah satu tindakan yang salah. Sekiranya orang itu mempunyai kesalahan dari segi hukum agama, buktikan dari segi dalil-dalil agama.

“Cara kita tangkap orang guna ISA atas kesalahan agama tidak akan menghilangkan salahfaham terhadap Islam. Seharusnya diperjelaskan dulu apa kesalahan itu. Kalau misalnya orang itu menghina Islam atau menyeleweng, buktikan dulu berdasarkan Quran dan hadis.

“Perlu diperdengarkan pertuduhan itu kepada orang yang dituduh itu. Mungkin juga, ia hanya satu salah faham. Yang penting perdengarkan dulu hujahnya,” kata Mufti yang terkenal dengan kelantangannya mengeluarkan idea yang berani dan telus itu.

Kata Dr Asri lagi, “Islam bukan agama yang bacul. Perbuatan ISA kerana kesalahan agama seolah-olah menggambarkan orang Islam tidak mampu berhujah, terus tangkap orang. Mereka akan kata mereka benar kerana kita takut berhujah dengan dia.” Beliau juga turut mengingatkan betapa bahayanya tindakan ISA.

“Sekiranya ada aliran-aliran tertentu dalam kerajaan yang tidak setuju dengan pendapat satu aliran yang lain, adakah ruang ISA juga akan digunakan? Pernah berlaku dalam kerajaan Abbasiyah yang berpegang pada aliran Muktazilah ketika itu. Dia menghukum orang daripada aliran lain termasuk Imam-imam besar seperti Imam Ahmad juga turut dihukum.

“Kalau di zaman ini, mereka yang kendalikan agama itu dari aliran lain maka mereka yang dari aliran lain itu akan dihukum tanpa memberi peluang membela diri. Ini juga tidak sejajar dengan konsep keadilan dalam Islam,” kata Dr Asri lagi.

Dari segi politik Islam atau siasah, kata beliau, kerajaan berhak menahan orang dan beri tempoh siasatan (14 hingga 30 hari) bergantung pada keperluan. Tapi kita tidak boleh hukum 2 tahun tanpa diadili. Ini zalim.

“Tuhan yang Maha Adil pun buat mahkamah di akhirat untuk setiap orang dibicarakan. Keadilan ditegakkan di dunia dan di akhirat. Tuhan yang Maha Adilpun memberi peluang untuk kita jawab kesalahan sedangkan Tuhan berhak buat apa saja. Jadi macam mana kita boleh tangkap orang tanpa memberi peluang mereka membela diri?,” jelas beliau.

Kata Dr Asri, isu agama turut membabitkan sensitiviti agama lain. Tapi dari segi mempersoalkan identiti Islam seperti laungan azan, itu tidak boleh.

“Namun jika ada sungutan tentang bacaan-bacaan yang panjang sehingga menganggu orang awam, ulamak Islam juga tidak benarkan. Bacaan yang kuat tanpa keperluan atau kuliah agama dengan menggunakan pembesar suara sehingga menganggu ketenteraman awam, itu tidak perlu. Itu sudah diputuskan oleh ulamak-ulamak dari dulu lagi.

“Agama itu terhad. Azan itu azan. Begitu juga kuliah agama untuk diperdengarkan di pembesar suara, berpada untuk sidang yang mendengar sahaja,” jelasnya. Dr Asri juga menyentuh tentang peranan Jakim.

“Jakim berperanan menjelaskan isu-isu agama dan juga yang menyeleweng dari agama. Bukan sekadar menyokong seseorang dihadapkan tanpa bicara. Badan itu juga hendaklah bebas dari percaturan politik. Perjelaskan ketentuan peruntukan orang yang menghina Islam seperti isu Raja Petra. Itu bersifat politik, biarlah diuruskan oleh orang politik.

“Kalau hendak diikutkan yang menghina Islam, ramai lagi yang patut dibuat aduan. Jelaskan dulu apa yang perlu dilakukan?,” soal Dr Asri.

Beliau juga meminta kerajaan memikirkan soal ISA ini sedalam-dalamnya. “Seandainya satu hari nanti kerajaan bertukar rupa dan kalau berlaku pertukaran kuasa. Terlalu ramai nanti yang tidak boleh bersuara dan ISA mungkin diguna seluas-luasnya. Besok, bila kena pada kita, apa kita nak buat?,” kata Dr Asri yang akan menghadiri Tazkirah Tarawih di Stadium Kota Bharu pada hari ini.

Beliau yang juga akan memberi ceramah di Kompleks Islam Lundang esok, sempena pelancaran Tabung Serambi Mekah yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, juga mempersoalkan bagaimana pemimpin yang gagal kendalikan parti yang kecil mampu kendalikan negara yang besar.

“Takkan nak tunggu ada rusuhan atau kekacauan. Ketika itu sudah tidak boleh dipulihkan lagi. Sekali kekacauan tercetus, susah untuk dipulihkan. Menurut pengamatan beliau, keadaan ini berlaku kerana pemimpin politik menganggap kedudukan politik itu seperti harta rompakan.

“Mereka bermati-matian untuk mendapatkannya sekalipun terpaksa menggunakan belanja yang besar kerana pulangan atau keuntungannya juga besar,” kata beliau.

Jelas beliau, saluran politik digunakan untuk membina kekayaan diri. Inilah hasilnya bila kerakusan ini berlarutan. Tidak ada setiakawan dalam politik, musuh memusuhi, berpuak-puak kerana fikirkan survival politik masing-masing bukan survival rakyat yang dipertanggungjawabkan.

Yang paling ketara sekarang, pemimpin politik bukan sahaja gagal membawa rakyat keluar dari kemelut yang sedang dihadapi malah menjadikan keadaan lebih rumit.
“Bukan sahaja mereka gagal menyelesaikan masalah tapi mereka pula yang menimbulkan lebih banyak masalah lain,” kata Dr Asri.

sumber: Mstar Online

Wednesday, September 10, 2008

S.I.S : "Saat Indah (hanya) Sementara"

Bila saya terkenangkan saat getir, pahit maung yang ditempuhi selama 11 tahun berkhidmat umpama 'tawa dalam tangisan'. Selama ini saya bukan mementingkan diri sendiri untuk maju dalam hidup tetapi apa yang saya lakukan ini adalah satu ibadah kerana Allah S.W.T, untuk masa depan keluarga tercinta dan secara tidak langsung untuk 'syarikat' yang saya banggakan selama ini.

Kejayaan yang dikecapi bukanlah untuk keseronokan ataupun kepuasan diri semata-mata tetapi adalah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan pengalaman sebagai satu bekalan untuk menempuhi cabaran yang mendatang serta saya ingin menyumbangkan bakti kepada 'syarikat' yang membantu saya sejak di tingkatan 4 lagi. Saya tidak akan menjadi seperti 'Kacang yang lupakan kulit', malah saya bersyukur dan berterima kasih kerana 'syarikat' sudi mengambil saya sebagai 'kru kapal' walaupun permulaan saya hanyalah sebagai 'kelasi kapal' sahaja pada tanggal 16 Jun 1997.

Saya tidak akan melupakan tarikh 'keramat' ini kerana sejak hari itulah, saya terus berusaha dan berusaha demi meningkatkan taraf hidup keluarga yang selama ini saya tidak pernah merasai kasih sayang dari seorang ayah kandung mahupun abang ataupun kakak kandung saya sendiri. Hidup saya bersama ibu dan adik-adik terumbang-ambing dan sentiasa mengharungi saat-saat getir. Saya bersyukur walaupun berbagai kerenah yang perlu saya layani, Allah S.W.T telah memberi saya semangat untuk terus 'Bangun dengan kekuatan...".

Saya tidak lupa dimana saya terpaksa korbankan usia muda saya pada umur 18 tahun menamatkan pelajaran kerana ibu tiada sumber kewangan untuk menghantar saya ke universiti. Sampai seketika, saya rasakan diri ini mungkin sebagai 'anak derhaka' kerana membantah cakap ibu yang suruh saya berhenti belajar dan mencari pekerjaan demi sesuap nasi.

Saya redho dengan ketentuan Ilahi, saya teruskan perjuangan ini dengan mengambil keputusan bekerja pada usia 18 tahun sebagai pembantu di pasar borong pada waktu pagi dan pembantu kedai runcit pada waktu tengahari hingga ke malam. Walaupun terpaksa mengayuh basikal selama 20 minit seawal jam 3.45 pagi ke pasar borong, saya tidak pernah mengeluh ataupun merasa bosan, malah saya amat gembira kerana dapat mencari wang saku sendiri serta dapat meringankan beban keluarga.
Sehinggalah pada tanggal 1 Oktober 1994, saya melangkah setapak apabila diterima bekerja di sebuah syarikat kontraktor. Sejak dari tarikh ini lah saya terus mencari peluang dan tapak untuk menyemai benih kehidupan saya agar 'tunas semaian' terus subur. Alhamdullillah, pada tarikh keramat itulah (16/06/1997), akhirnya cita-cita saya termakbul juga mencari 'tapak semaian yang tanahnya subur' bila diterima menjadi 'kelasi sebuah kapal gergasi'.

Pelbagai rintangan selama 11 tahun telah saya tempuhi bersama didalam satu kapal yang besar, jatuh bangun bersama, malah saya terus 'dibajai' agar terus 'subur'. Betul kata orang tua-tua, "Saat Indah (hanya) Sementara", dan kita akan terus diduga oleh Allah Yang Maha Esa untuk saat indah seterusnya selagi hayat dikandung badan. Percayalah saat indah yang kekal selamanya hanyalah syurga Allah yang kekal abadi. Keimanan dan ketaqwaan yang akan menjadi penentu sama ada diri kita layak atau tidak.

Dikala hampir tiba dikemuncak, dugaan terus datang bertalu-talu, diri merasai sudah tidak selamat dikala masih ada lagi 23 tahun untuk terus menempuhi dugaan mendatang di dalam ‘kapal’ sekarang. Namun saya akan terus 'Bangun dengan kekuatan' menempuhi segala cabaran ini kerana saya percaya Rezeki, Ajal, Maut hanya ditangan Allah S.W.T. Jika perlu, mungkin saya akan berhijrah mencari 'tapak semaian' yang baru.... Insya-Allah.

Tuesday, September 9, 2008

Adjustment Oh... Adjustment...

Sekarang ni saya terlalu sibuk untuk menyiapkan 'adjustment' akaun-akaun pelanggan bagi membersihkan semua perkara-perkara yang boleh menjejaskan kutipan hasil syarikat terutama sekali perkara yang boleh mendorong kepada 'Bad Debt'.

Begitu jugalah Malaysia, terutama sekali situasi ekonomi & politik. 'Adjustment' perlu dilakukan dengan kadar SEGERA, bak kata erti lain 'pembersihan' perlu dilakukan dengan penuh perancangan yang teliti demi menjamin kebahagian dan kesejahteraan rakyat dimana rakyat sudah 'tertekan' dengan kenaikan harga barang. Perkara ini juga akan mendorong seseorang manusia melakukan jenayah akibat tidak mampu dengan tekanan-tekanan hidup yang semakin mendesak.

Marilah kita sama-sama menyeru agar pemimpin kita sama-sama melakukan 'pembersihan' ini demi masa depan negara Malaysia yang tercinta.

Tetapi ingatlah, semua harus dilakukan dengan tawakkal dan bertakwa kepada Allah S.W.T.

Monday, September 8, 2008

Kenyataan Akhbar Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat

From Anwar Ibrahim Blog


8 September 2008

Pakatan Rakyat Menjunjung Prinsip Perlembagaan Persekutuan

Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bersidang pada hari ini, 8 September 2008 dengan ini menegaskan penolakan kami terhadap usaha-usaha menyemarakkan politik perkauman yang sedang dilakukan oleh UMNO akhir-akhir ini. Kami amat bimbang isu ini sekarang digunakan untuk mengelabui pandangan rakyat yang sebenarnya merupakan usaha terdesak untuk menyelamatkan kepentingan segelintir golongan elit politik dan kroni mereka.

Kami sekali lagi mengulangi pendirian menjunjung prinsip-prinsip dasar yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan. Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan menjamin kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

Berdasarkan prinsip-prinsip Perlembagaan ini kami menolak sekeras-kerasnya pendekatan politik perkauman sempit yang menjadi dasar UMNO-BN. Pendekatan inilah yang sengaja digunakan untuk memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk negara ini.

Sehubungan ini kami membantah ucapan yang dibuat oleh Dato Ahmad Ismail yang disokong oleh semua pemimpin UMNO Pulau Pinang. Isi ucapan itu mencerminkan dasar perkauman UMNO yang sebenarnya bertujuan hanya untuk mempertahankan kepentingan segelintir golongan orang kaya Melayu serta suku sakat mereka yang menggunakan kuasa politik untuk mengambil kesempatan mengaut kekayaan negara dengan berselindung di sebalik membela kepentingan Bumiputera dan orang Melayu.

Sekian, terima kasih.

YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat

YB Dato’ Husam Musa
Naib Presiden PAS

YB Lim Kit SiangKetua

Ahli Parlimen DAP

Peluang perniagaan sarang burung


assalamualaikum rakan2

nak tau akses laman web www.aeroswift.net

kalo minat boleh call atau jumpa aku untuk penerangan lanjut modal sekali seumur hidup untuk 30 tahun boleh diwarisi

wassalam

Alumni Sek. Men. Keb. Dato' Syed Omar - batch 1989 - 1993

Aku harap, dengan adanya blog ni, dapatlah aku cari rakan-rakan masa zaman sekolah menengah dulu.

Kepada rakan-rakan yang mengenali aku, contactlah aku...

Tak kan hampa dah tak kenal aku kot...zambri, 5 Sains 1

Tunggu... Jangan tak tunggu


Bagai menunggu buah tak jatuh... ish.... risau pun ada. Jadi ke tak jadi ni 16 September? Yelah, bilalah rakyat marhein Malaysia akan betul-betul Merdeka!

Sekarang ni, ayam sekilo dah RM7.50, wuhhh, mahal 'gila' beb. Cam manalah orang-orang susah dikampung, nampak gayanya...makan ayam kampung jelah... lagi sedap. Kalau orang bandar KL cam mana pula ye...

Nasib baik aku dah balik kampung....

Kereta Idamanku...

Hari ini dah 8 hari kita perpuasa. Raya, 22 hari lagi. Plan nak gi tengok sekali lagi kereta idamanku dengan rakan-rakan ofis pula. Tak puas tengok hari tu.

Memang canggih, bak kata "Alah membeli, menang memakai". By the way, aku akan beli juga. Matlamat sekarang simpan duit, bila dah cukup terus angkat, hehehe.

Hampa tengoklah gambar di bawah:













Tak rugi beli beb, memang safety.

Friday, September 5, 2008

Selamat Berpuasa


Assalamualaikum,

Saya rasa masih belum terlewat untuk mengucapkan Selamat Berpuasa.

Mudah-mudahan Ramadhan tahun ini akan menambahkan lagi ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T. seperti di dalam firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183:

"Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan keatas umat-umat sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertaqwa"

Marilah kita sama-sama memohon kepada Allah agar kita terus diberkati dan dirahmati-Nya.